ALHAMDULILLAH…
Nampaknya polemik antara dua tokoh ulamak yakni Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin (Maza) dan Pendakwah Bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias yang begitu panas sebelum ini reda dengan pantas apabila kedua mereka bertemu di Perlis, malam ini.

Kedua mereka dilaporkan bertemu dalam suasana penuh mesra dan berbual panjang antara satu sama lain di sebuah kafe di Kangar.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dr Maza sendiri, berkongsikan perkara ini di laman Facebook beliau usai pertemuan tersebut.
Bersama tiga keping gambar menunjukkan pertemuan penuh harmoni, beliau memuat naik status berbunyi:
‘Minum dan tersenyum’. Saya alhamdulillah menerima tetamu istimewa malam ini Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis. Turut sama Dato Dr Asyraf Wajdi yang diPertua YADIM. Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara muslim di cafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar.
Beberapa hari lalu, pengguna media sosial beragama Islam negara ini dikejutkan dengan penyebaran sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju Ustaz Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.
Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberi sebab kerana beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu termasuk menyatakan kenduri Rasulullah SAW menghidangkan ‘roti jala dengan kuah kari’.

Berikutan itu, berlaku cabar mencabar antara kedua pemimpin agama itu.
Polemik di antara kedua-dua tokoh agama itu bagaimanapun mendapat kritikan ramai pengguna media sosial kerana dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.
– MYNEWSHUB.CC
