SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata AirAsia X merancang terbang semula ke Eropah awal tahun depan dengan menggunakan pesawat baharu yang lebih menjimatkan minyak.
Pengenalan semula laluan ke Eropah sejajar dengan peningkatan permintaan untuk perjalanan udara bagi laluan berkenaan, katanya.
London mungkin menjadi destinasi pertama di Eropah bagi AirAsia X. Syarikat penerbangan itu menamatkan laluan London dan Paris menggunakan Airbus A340 pada 2012 kerana mendapati model kos rendah tidak dapat menampung kos tinggi untuk bahan api pesawat itu.
“Ada permintaan tinggi untuk laluan ke Eropah dan syarikat sudah menempah 55 pesawat berbadan lebar Airbus A330neo yang akan digunakan untuk laluan itu.
“Saya terima ribuan tweet minta kami adakan semula penerbangan ke Eropah awal tahun depan, dan kini kami ada pesawat yang tepat untuk digunakan pada laluan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai usaha mencari mangsa nahas pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 pada 28 Disember 2014, dijangka dihentikan dalam tempoh antara tujuh hingga 10 hari lagi.
Tony berkata, syarikat juga memohon untuk terbang ke Hawaii bagi membuktikan piawai keselamatan tinggi yang diamalkan syarikat itu, justeru sedia diaudit Lembaga Penerbangan Persekutuan (FAA). – Reuters
https://youtu.be/rcmjm-mphO0

