KUALA LUMPUR – Sebanyak 395,217 rumah di 430 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka terputus bekalan air atau mengalami masalah tekanan air rendah disebabkan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, loji itu terpaksa ditutup pada pukul 8.30 malam tadi disebabkan pencemaran sumber air mentah Sungai Semenyih.
“Untuk makluman, penutupan operasi LRA ini masuk kali keempat dilakukan dalam tempoh dua bulan setelah Sungai Semenyih mengalami pencemaran yang sama hingga menyebabkan operasi loji tersebut dihentikan pada 15 Februari, 3 Mac dan pada 7 Mac lalu.
“Berikutan penutupan ni, sebahagian pengguna di 61 kawasan di Wilayah Petaling (143,098 pintu rumah), 209 kawasan di Wilayah Hulu Langat (143,413 pintu rumah), 75 kawasan di Wilayah Kuala Langat (47,147 pintu rumah) dan 85 kawasan di Wilayah Sepang (61,469 pintu rumah) dijangka berhadapan dengan terputus bekalan air dan tekanan rendah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Priscilla berkata, Syabas akan menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki dan tangki air statik, tetapi keutamaan diberikan untuk kegunaan kecemasan seperti kematian dan majlis perkahwinan selain daripada hospital, pusat dailisis dan rumah kebajikan.
Justeru, katanya. pengguna di kawasan terjejas diminta bersabar dan menggunakan air yang ada secara berjimat sementara keadaan belum pulih.
- MYNEWSHUB.CC

