PETALING JAYA – Pesawat A400M pertama milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tiba hari ini berupaya mempertingkat keupayaan pertahanan negara dalam operasi ‘Strategic Airlift’ serta ‘Tactical Airlift’.
Pesawat A400M itu mempunyai jangkauan operasi yang lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut jumlah kargo yang lebih besar berbanding pesawat C-130 Hercules yang dimiliki TUDM ketika ini.
Selain untuk tujuan pertahanan, pesawat itu juga berupaya melaksanakan misi yang merangkumi penugasan berkaitan Medical Evacuation (Medevac),
Air-to Air Refuelling (AAR), Aerial Delivery (Paratroop & Logistic) serta Humanitarian Aid and Disaster Relief (HADR) Operations.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad berkata, tiga buah pesawat lagi akan tiba secara berperingkat, di mana dua akan tiba tahun ini manakala pesawat keempat akan tiba pada suku pertama tahun hadapan.
“Dengan penerimaan pesawat ini, menjadikan Malaysia negara kelima yang telah menerimanya selain Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom, selain menjadi negara pertama memiliki pesawat ini di Asia,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ketibaan A400M di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini, hari ini.
Pesawat pertama itu diterbangkan oleh juruterbang TUDM yang diketuai Lt Kol Masro Kaliwon dengan dibantu empat orang Kuartermaster Udara yang berlepas dari Seville, Sepanyol pada Khamis ke Abu Dhabi sebelum berlepas semula ke Malaysia dan tiba semalam.
Pesawat buatan syarikat Airbus Defence itu berkemampuan membawa bebanan 20 tan sejauh 3,400 batu nautika tanpa keperluan mengisi minyak serta pada ketinggian 37,000 kaki dan kelajuan 0.72 Mach.
Roslan berkata, TUDM juga telah mewujudkan unit baru iaitu Skuadron 22 untuk mengendalikan pesawat berkenaan, di mana seramai 16 pegawai (juruterbang dan pegawai kejuteraan) serta 30 anggota (loadmaster dan juruteknik) telah menjalani kursus asas di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Seville.
“Bagi tahun ini, TUDM sedang menyelaras keperluan kursus dan latihan dengan pihak Airbus Defence & Space (ADS) yang melibatkan lapan juruterbang, Loadmaster (4) dan Juruteknik (24),” katanya.
Pesawat A400M itu bakal diperkenalkan secara rasmi buat kali pertama kepada tetamu kenamaan dan orang ramai semasa majlis perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA ’15) pada 17 Mac ini.
Ia akan turut dipamerkan kepada orang ramai sepanjang LIMA’15 berlangsung sehingga 21 Mac.
Dalam pada itu, Roslan berkata pesawat baharu itu tidak akan menggantikan C-130 Hercules yang ketika ini banyak digunakan untuk operasi pengangkutan.
“C-130 masih beroperasi dan kedua-duanya (C-130 dan A400M) mempunyai peranan masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu Masro berkata beliau begitu teruja dapat menerbangkan pesawat itu dari Seville, Sepanyol ke Subang selama 18 jam.
“Berbanding pesawat saya sebelum ini, yang ini lebih baik dengan sistem peralatan canggih. Ia mampu terbang lebih tinggi yang mengurangkan bahan api,
mengurangkan kos operasi dan ia boleh membawa lebih kargo,” katanya yang sebelum ini menerbangkan pesawat C-130. – BERNAMA