PUTRAJAYA – Tiga lelaki ditahan selepas polis menyerbu lokasi aktiviti paintball dan sukan rekreasi menggunakan senjata api tiruan tanpa permit di tapak Pesta Belon Udara Panas Putrajaya di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun ditahan dalam serbuan pertama yang dilakukan di lokasi aktiviti paintball pada pukul 3 petang.
“Setelah diperiksa, kedua-dua lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang permit dan lesen untuk menjalankan aktiviti paintball. Polis merampas enam unit senapang paintball, 21 tabung gas maker dan sembilan kotak peluru zing paintball .68 kaliber,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Abdul Razak menambah kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa permit atau lesen yang sah.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.
Abdul Razak berkata setengah jam kemudian, polis menyerbu lokasi aktiviti sukan rekreasi yang menggunakan senjata menyerupai senjata api dan menahan seorang lelaki berumur 20 tahun.
Dalam serbuan kedua itu, polis merampas 16 laser tag Markson Sport (senjata api tiruan) dan seunit multi charger.
Katanya lelaki berkenaan melakukan kesalahan menurut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.
Jika sabit kesalahan seseorang boleh dihukum penjara tidak lebih satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Abdul Razak berkata nilai rampasan daripada kedua-dua serbuan itu dalam lingkungan RM50,000. Ketiga-tiga lelaki yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama dan akan didakwa di mahkamah.
Mengenai kes jenayah di Putrajaya, Abdul Razak menjelaskan bagi tahun 2015 setakat Februari, kadar jenayah menurun 33 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan antara faktor penyumbang kepada penurunan itu ialah rondaan yang lebih kerap.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik motosikal mengunci kenderaan masing-masing ekoran secara puratanya lapan hingga 12 kes curi motosikal dilaporkan di Putrajaya sebulan. – BERNAMA

