SATU kejadian yang tidak sepatutnya berlaku bagi kami, telah berlaku ketika satu sesi sidang media membabitkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyidin Yassin baru-baru ini.
Sebagaimana kelaziman sewaktu sidang media, Muhyidin memberikan penjelasan kepada wartawan yang berada bersamanya tentang isi temubual yang ingin digariskan beliau. Kali ini Muhyidin bercakap tentang isu perpaduan membabitkan pelbagai bangsa di Malaysia.
Tup-tup, kedengaran suara salah seorang wartawan meminta agar beliau mengulang kenyataan yang telah diucapkannya menggunakan Bahasa Inggeris pula!
Ada dua isu di sini iaitu pertama, amboi kelas sungguh penerbitan yang diwakili oleh wartawan tersebut sampai TPM perlu melakukan terjemahan untuk dirinya?
Dan kedua, ini negara Malaysia kot…nak-nak isu yang sedang dinaikkan adalah soal perpaduan maka amatlah tidak kena apabila rakyat negara ini sendiri menunjukkan terang-terangan dia tak faham Bahasa Melayu sedangkan tinggal dan mencari rezeki di negara yang majoritinya bertutur bahasa tersebut yang juga bahasa kebangsaan.
Tak hairanlah, Muhyidin menjawab permintaan wartawan tersebut secara sinikal apabila berkata, “Oh I thought you understand Bahasa?” lantas menyarankan supaya wartawan terbabit meminta bantuan daripada rakannya yang lain.
Muhyidin seterusnya menerangkan, situasi sebegini boleh membuatkan beliau disalah anggap sebagaimana pernah berlaku sebelum ini, di mana ada pihak menyindir Menteri Pendidikan sendiri bertutur Bahasa Inggeris sedangkan niat beliau untuk menjawab soalan wartawan yang tak faham Bahasa Melayu seperti wartawan terbabit.
Apapun bagi kami, Muhyidin tak payah terangkan pun tak ada hal sebab tak kiralah wartawan dari penerbitan Bahasa Cina, Tamil mahu pun Inggeris sekalipun, mereka seharusnya faham Bahasa Melayu dengan baik sebagai rakyat negara ini apatah lagi bekerja dalam bidang media yang memerlukan mereka menyebarkan maklumat tepat kepada pembaca.
Kepada syarikat media, lain kali hantarlah wartawan yang bersesuaian dengan perkara hendak dibuat liputan kerana dibimbangi, jika wartawan sendiri tak faham macam mana hendak bagi maklumat yang tepat pada pembaca anda, betul tak?
– MYNEWSHUB.CC