JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kali, akan menghantar enam saintis ke Antartika bermula 25 Februari hingga 19 Mac depan, bagi menjalankan ekspedisi penyelidikan berimpak tinggi mengenai bidang Remote Sensing, Sains Sukan, Sains Biologi dan Kejuruteraan Mekanikal.
Saintis berkenaan ialah Prof Dr Mazlan Hashim, Prof Dr Abdul Hafidz Omar, Dr Mohd Nadzri Md Reba, Dr Mohd Farid Muhamad Said, Dr Mohd Firdaus Abdul Wahab dan Kamaruzaman Soeed.
Mazlan selaku Ketua Ekspedisi berkata program yang menelan kos sebanyak RM222,000 itu dilakukan untuk mengenal pasti pengaruh iklim Antartika kepada sosio, ekonomi dan ekologi di kawasan beriklim tropika khususnya di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Selain itu, ia juga akan menentukan kesan jangka panjang perubahan iklim di kawasan tropika berasaskan tahap dinamik iklim Antartika serta membantu kita membentuk pusat kecemerlangan serantau di UTM bagi kajian kesan pemanasan global melalui hubungan Antartika-Tropikal,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya berharap dapat menghasilkan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang, misalnya sains sukan serta pertanian, menerusi ekspedisi berkenaan. ÂÂ
“Kita usahakan ekspedisi ini supaya hasil penyelidikan dibawa ke industri dan kemudian menjana sesuatu yang boleh dipasar dan dikomersialkan,” katanya.
Bagi memudahkan ekspedisi kelolaan Pusat Penyelidikan Antartik Nasional (NARC) dan UTM itu, kesemua saintis berkenaan akan membawa peralatan penyelidikan antaranya kenderaan kawalan jauh (ROV) dikenali sebagai UTM-ROV Dolphin-3.
Mazlan berkata ROV yang bergerak dalam air itu diguna secara meluas oleh masyarakat sains untuk mengkaji lautan serta meneroka hidupan dan persekitaran dalam air.
Ia juga dikawal oleh pemandunya berdasarkan imej video yang dipancar secara langsung menerusi kamera kenderaan ke skrin komputer, katanya. – BERNAMA
UTM Bangunkan Alat Pengesan Gempa Bumi Awal
JOHOR BAHRU : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan alat pengesan gempa bumi dinamakan sebagai ‘Wireless Accelerometer’ yang memberi siren amaran...

