DUNGUN – Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang di sini akan melancarkan program ketiga penggunaan Peranti Penyisih Penyu (TED) bagi bot Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) Selasa ini bagi mengurangkan kadar kematian penyu daripada terperangkap dalam pukat tunda.
Pengarah Tumec Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata menerusi penggunaan TED, penyu yang terperangkap masuk dalam pukat tunda akan dapat keluar dengan selamat.
Terengganu merupakan pelopor penggunaan TED yang diperkenalkan kepada bot jenis PTMT pada 2013 dan kali ini merupakan program ketiga dilancarkan di negeri ini, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tumec adalah agensi di bawah Jabatan Perikanan yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti penyelidikan Penyu di Semenanjung Malaysia dan dalam kalangan negara ASEAN dengan Malaysia dilantik sebagai negara peneraju dalam pengurusan dan pemuliharaan penyu.
Beliau berkata setakat ini Tumec telah memasang TED pada 16 buah bot PTMT dan kajian mendapati hasilnya amat memberangsangkan dan ia juga terbukti dapat mengurangkan ikan baja atau anak ikan terperangkap dalam pukat tunda.
Ikan baja yang banyak terperangkap dalam pukat tunda biasanya diproses menjadi baja untuk tanaman.
Syed Abdullah berkata berdasarkan kajian Tumec, insiden kematian penyu di perairan pantai negeri ini akibat terperangkap pada peralatan pukat tunda adalah yang kedua tertinggi selepas pukat hanyut.
Katanya Jabatan Perikanan juga bercadang memperluaskan pengunaan TED bagi bot PTMT di Kelantan, Pahang dan Johor.
“Ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian penyu dan meningkatkan pemuliharaan sumber perikanan, bahkan tangkapan lebih bersih dengan pengasingan sampah sarap sekali gus berupaya menjimatkan penggunaan bahan api,” katanya.
Katanya program penggunaan TED itu dijalankan dengan kerjasama Syarikat Huntsman-Tioxide Sdn Bhd di Kemaman dan Marine Research Foundation di Kota Kinabalu, Sabah bagi tujuan pemuliharaan dan kajian penyu. – BERNAMA
