SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan di KM264, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran plaza tol Seremban dekat sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Gan Chin Chuan, 45, dari Taman Sri Manja, Petaling Jaya, Selangor, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu mangsa hilang kawalan setibanya di tempat kejadian menyebabkan kereta mangsa terbabas lalu melanggar besi penghadang di kiri lebuh raya.
“Ekoran daripada itu, mangsa tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat. — BERNAMA

