TAWAU – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Tawau merampas 7,000 liter bahan api bersubsidi bernilai RM14,840 dalam serbuan di sebuah gudang berhampiran Jeti Tawau, di sini, semalam.
Ketua KPDNKK Tawau Peter Berinus Agang berkata hasil risikan selama tiga hari sehingga semalam itu, pihaknya menyerbu premis berkenaan pada 1.15 petang.
Katanya ketika diserbu terdapat seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun berada di premis berkenaan dan ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan terhadap gudang itu mendapati terdapat 7,000 liter minyak petrol yang dimasukan dalam beberapa tong dram,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang dan anggota sindiket itu termasuk pembeli bahan api berkenaan. – BERNAMA