IPOH – Seorang kontraktor kerugian RM173,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di belakang sebuah bank, di Laluan Gunung Rapat 1, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq berkata mangsa bersama isterinya yang menaiki kereta jenis Toyota Hillux itu didatangi tiga lelaki selepas memasukkan sejumlah wang di bank terbabit 12 tengah hari.
Kumpulan terbabit menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dengan seorang lagi suspek dipercayai memandu kereta tersebut, katanya.
“Sebelum kejadian, mangsa mengeluarkan RM173,000 dari sebuah bank lain di Jalan Sultan Idris di Pekan Ipoh di sini, sebelum pergi ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan tukul besi serta parang kemudiannya keluar daripada kenderaan dan bertindak memecahkan cermin kereta.
“Suspek telah memecahkan cermin bahagian depan pemandu dan penumpang serta cermin hadapan kenderaan mangsa.
“Selepas memecahkan cermin kenderaan, seorang daripada lelaki bertopeng itu bertindak merampas beg silang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi wang tunai berkenaan sebelum melarikan diri ke Jalan Sultan Nazrin Shah,” kata Ahmad Termizi.
Polis kini sedang memburu kesemua suspek. – BERNAMA

