JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor komited untuk meneruskan kerjasama dan memberi sokongan kepada Kelab Media Johor (KMJ) dalam menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada anggotanya.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri juga bersedia menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi membolehkan KMJ menggerakkan perancangan termasuk penubuhan sebuah koperasi.
“Kerajaan negeri ketika ini menyediakan geran tahunan RM50,000 kepada KMJ untuk melakukan aktiviti, namun, kami bersedia menyalurkan peruntukan lain bagi KMJ meningkatkan kedudukan anggotanya seperti rancangan untuk menubuhkan koperasi,” katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan KMJ di sini, malam tadi.
Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri amat berterima kasih atas peranan KMJ menyampaikan hasrat dan rancangan kerajaan kepada rakyat dan sehubungan itu, jalinan erat antara kedua-dua pihak perlu terus diperkukuh dalam bersama-sama memajukan negeri.
Beliau berkata KMJ perlu menjadi rakan kongsi aktif dalam agenda pembangunan Johor termasuk menyedarkan masyarakat dalam merebut peluang yang disediakan kerajaan supaya mereka tidak ketinggalan berdepan arus pembangunan ketika ini.
Sementara itu, Presiden KMJ Mohd Fauzi Ishak berkata KMJ yang ditubuhkan pada 1991 dan kini mempunyai 127 anggota akan meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan, pihak swasta dan organisasi lain di negeri ini.
Beliau berkata, KMJ yang menjadi rakan promosi pelancongan bersama Jabatan Pelancongan Johor tahun lepas, kini merancang menganjurkan program cintai alam sekitar dengan kerjasama Perbadanan Taman Negara Johor dan Jabatan Alam Sekitar.
Katanya selain menubuhkan koperasi, KMJ juga bercadang untuk memiliki bangunan sendiri yang memudahkan setiap anggotanya melakukan aktiviti. – BERNAMA

