KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Pahang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api yang diangkut menggunakan sebuah lori lapan tan di KM365 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Raub, Ahad lalu.
Dalam serbuan itu, sebanyak 333 kotak pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM471,650 dirampas dalam lori yang ditinggalkan oleh pemandunya di tengah jalan di situ.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Sarip Ismail, berkata serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam selepas lori itu disyaki terbabit dengan penyeludupan mercun dan bunga api dari negara jiran dipercayai Thailand pada jam 1.15 tengah hari sebelum mengejarnya.
“Semasa diekori, pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 30-an itu mungkin menyedari kehadiran anggota dan pegawai kami di kawasan itu lalu terus melarikan diri selepas memberhentikan kenderaannya di lokasi terbabit.
Anggota kita cuba mengejar pemandu lori itu namun gagal mengesannya. Kita masih mengesan pihak terlibat dalam penyeludupan ini dan percaya sindiket terbabit menjadikan Kelantan sebagai laluan transit sebelum meneruskan perjalanan menghala ke Perak untuk memasarkan mercun dan bunga api ini sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
“Siasatan juga mendapati mercun dan bunga api yang merupakan barang larangan tertakluk di bawah Butiran 47, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 berkenaan mempunyai nilai cukai sebanyak RM306,572.50.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu membawa atau mengangkut barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya juga merampas empat kereta mewah iaitu BMW, Lexus dan dua Mini Cooper yang dipercayai diseludup dari Singapura untuk dijual di sini dalam operasi berasingan di bandar ini semalam.
“Seorang lelaki berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan dan kita percaya kesemua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tidak didaftarkan masuk ke negara ini.
Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membendung kegiatan penyeludupan barang larangan termasuk kereta seludup di sini,” katanya. – BERNAMA

