NAMPAKNYA, pergolakkan dalaman parti MIC terutamanya antara presiden, Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Presiden, Datuk M. Saravanan belum menampakkan tanda-tanda mahu surut.
Dalam ‘episod’ terbaru, ibu pejabat parti itu dilaporkan dikunci selepas menerima arahan dari Palanivel walaupun notis untuk mengadakan mesyuarat khas pada jam 6 petang ini telah diuar-uarkan.
Menurut Saravanan yang mengesahkan perkhabaran tersebut, turut menyifatkan tindakan itu menggambarkan Palanivel takut kerana tidak mempunyai suara majoriti untuk menyokongnya.
[BERITA TERDAHULU: Najib Temui Pemimpin MIC, Setuju Pemilihan Semula Parti Diadakan Semula]
Ujar Saravanan dalam laporan portal Astro Awani, “Hari ini sepatutnya diadakan mesyuarat khas. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah mengarahkan MIC untuk mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh 14 hari.
“Namun lapan hari sudah berlalu dan tiada tanda Presiden mahu mengadakan mesyuarat.
“Mengikut perlembagaan sekiranya ada permintaan 15 orang ahli majlis tertinggi mesyuarat boleh dilakukan. Notis telahpun dihantar semalam kepada semua majlis tertinggi mengenai mesyuarat khas hari ini.
“Tapi hari ini Presiden bagi arahan supaya pejabat MIC tutup dengan niat menghalang menyuarat itu. Ini bukti Palanivel takut tiada sokongan majoriti.”
Tambah Saravanan lagi, berdasarkan perlembagaan MIC, majlis tertinggi yang lain boleh meminta untuk mengadakan mesyuarat tetapi ia perlu dipengerusikan presiden sendiri.
Namun demikian, andai presiden tidak menghadirkan diri dalam sesebuah mesyuarat yang diadakan, ahli majlis tertinggi yang lain boleh melantik pengerusi bagi mengepalai mesyuarat tersebut.
– MYNEWSHUB.CC
Walaupun Tanpa Restu Presiden, Pemilihan MIC Tetap Diteruskan