Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Padah menghina pemergian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang doktor di sebuah hospital kerajaan terpaksa menerima akibatnya apabila dia dihujani caci maki dari penyokong tokoh tersebut.
Bukan itu sahaja, lebih ekstrem lagi, si pelaku, Abdul Rahman turut diugut bunuh oleh individu tertentu.
Malah, nada sinikal Abdul Rahman dalam bait-bait komentarnya turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang membidas individu tersebut kerana didakwa sering menimbulkan polemik.
Dalam statusnya di laman sosial Facebook, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza kesal dengan refleksi bahasa dan akhlak seorang doktor yang ditonjolkan Abdul Rahman.
“Saya tidak kenal siapa orang ini, tapi sejak sekian lama saya dimaklumkan betapa buruknya bahasa dan budi seorang yang menyandang jawatan doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan.
“Terlalu buruk bahasa dan akhlak sebagai seorang ahli perubatan. Kementerian Kesihatan harus memandang serius kes yang seperti ini.”
Katanya lagi, pemergian Nik Abdul Aziz turut mendapat simpati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menziarahi jenazahnya, namun lain pula tingkah yang ditunjukkan pembela Ulama Muda dalam UMNO itu.
“Semua pimpinan politik termasuk Presiden UMNO DS Najib Tun Abd Razak mengucapkan takziah dengan penuh santun dan menziarahi jenazah. Namun lain pula tingkah pembela Ulama Muda UMNO ini.”
Namun, setelah dihentam bertubi-tubi oleh netizen terutamanya penyokong TGNA, Abdul Rahman dalam entri di medium sama kemudiannya membuat satu permohonan maaf kepada ahli keluarga tokoh itu.
“Saya Dr Abdul Rahman Abdul Kadir dengan ini memohon maaf kepada seluruh keluarga Allahyarham TG Nik Aziz Nik Mat dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keterlanjuran kata di dalam akaun Facebook milik saya bertarikh 13.02.2015 berkaitan dengan kematian Allahyarham.”
Katanya, walaupun konteks ayatnya telah disalah erti dan dimanipulasi, namun Abdul Rahman mengakui bahawa ujaran tersebut sememangnya tidak sesuai ditulis saat pemergian Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Walau bagaimanapun, dia kesal dengan tindakan sesetengah pihak, termasuk Dr Maza yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengambil kesempatan, malah memuat naik fotonya tanpa izin.
Orang tua-tua selalu berpesan, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’. Tutur bicara dan penulisan haruslah bersederhana dan tidak mencuit mana-mana individu sehingga boleh menimbulkan pergeseran.
Tindakan yang dipaparkan perdana menteri ketika mendapat perkhabaran kematian Nik Abdul Aziz seharusnya menjadi ikutan semua pihak.
Walaupun arus politik yang dituju kedua-dua figura tersebut bertentangan, namun ia tidak menghalang Najib dari meluahkan simpati, takziah dan menziarahi jenazah Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Menurut informasi di laman sosial, Abdul Rahman berkemungkinan akan membuat laporan polis atas ugutan bunuh yang diterimanya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
PM Najib Tun Razak Berhenti Ucapan Dan Sedekahkan Al-Fatihah Usai Mendapat Berita Pemergian Nik Abdul Aziz
https://www.youtube.com/watch?v=12XLZONQBJo