KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memujuk parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya terus kekal dalam pakatan rakyat melalui satu resolusi yang dikeluarkan malam tadi.
Pujukan itu dibuat berikutan ketiadaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia kelmarin dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, resolusi berkenaan meminta kesemua pihak dalam pakatan rakyat perlu mengenang sumbangan Nik Abdul Aziz dan Anwar dalam membentuk gabungan itu.
“DAP menggesa pemimpin dan anggota ketiga-tiga parti komponen untuk mengenang sumbangan kedua-dua pemimpin ini ke arah pembentukan pakatan rakyat dengan meneruskan usaha mereka untuk mengekalkan pakatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, ketiga-tiga parti komponen perlu terus berpegang kepada prinsip konsensus terhadap nilai yang disepakati bersama dan mengorbankan sebarang tindakan yang gagal mendapatkan kesepakatan ketiga-tiga parti.
Anwar sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun diatas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Nik Abdul Aziz pula meninggal dunia kelmarin selepas beberapa lama dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan akibat menderita penyakit kanser.

