TELUK INTAN – Sebanyak 13 kaki judi ditahan dalam dua serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dalam Ops Dadu di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam serbuan pertama pada Isnin lepas, polis menahan dua lelaki berumur 36 dan 46 tahun yang sedang leka berjudi di sebuah pelantar ikan di Sungai Tiang, Bagan Datoh dekat sini pada pukul 10.30 malam.
“Polis merampas wang tunai sebanyak RM14,970 serta beberapa peralatan perjudian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau kata dalam serbuan kedua pula di sebuah rumah di Kampung Goh Ong, Langkap, polis telah menahan 11 lelaki berumur lingkungan 30 hingga 63 tahun yang sedang berjudi pada pukul 6.30 petang semalam.
Katanya, polis turut merampas wang tunai RM270 dan peralatan judi.
“Kesemua mereka dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Mohd Shuhaily turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti itu kerana tindakan tegas akan diambil.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil melaporkan perkara itu bagi membanteras kegiatan berkenaan. – BERNAMA

