CALON enam anugerah Grammy, Sam Smith memberi indikasi dia telah berpisah dengan teman lelakinya, Jonathan Zeizel selepas hanya dua bulan bersama.
Penyanyi lagu Stay With Me itu pada Mei tahun lalu, telah membuat pengakuan terbuka dia adalah seorang lelaki gay.
Smith dan Zeizel berkenalan ketika sama-sama membuat rakaman video untuk single kelima Smith, Like I Can sebelum mengumumkan pada penghujung tahun lalu mereka adalah pasangan kekasih.
Mereka turut merayakan sambutan tahun baru di Australia bersama-sama.
Sebelum menyampaikan lagu berjudul Good Thing Sam memberitahu penonton; “Lagu yang akan saya sampaikan ini sangat bermakna dan istimewa kerana saya sendiri terpaksa melakukan (perpisahan) dengan seseorang yang  bersama saya sebelum ini.”
Lagu itu menceritakan saat-saat bersama orang dicintai yang tidak lagi kelihatan indah selepas terlalu banyak perkara baik dilalui bersama.
Smith kemudiannya memuatnaik gambar selfie dalam laman Instagram yang memperlihatkan wajah murungnya dengan kata-kata: “Ia adalah hari yang sangat sedih…”
Penyanyi itu mengakui yang kini, pentas persembahan adalah terapi terbaik untuk dia melupakan kisah sedihnya.
“Sekurang-kurangnya muzik menghiburkan saya,” ujar Smith.  -mStar Online

