KUANTAN – Pahang mencatatkan peningkatan kes demam denggi hampir 200 peratus bermula 1 Jan 2014 hingga 4 Jan 2015 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Dr Zainal Ariffin Omar berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 2,170 kes demam denggi dilaporkan iaitu meningkat 1,445 kes (199 peratus) berbanding tempoh sama iaitu 725 kes pada 2013.
“Daripada jumlah itu, daerah Kuantan mencatatkan kes demam denggi paling tinggi iaitu 1,166 kes (53.7 peratus), Temerloh 310 kes (14.3 peratus), Jerantut 236 kes (10.9 peratus) dan Maran 160 kes (7.4 peratus).
“Selain itu, Raub mencatatkan 86 kes (4.0 peratus), Bera 69 kes (3.2 peratus), Bentong 51 Kes (2.4 peratus), Rompin 36 kes (1.7 kes), Lipis 26 kes (1.2 peratus), Pekan 25 kes (1.2 peratus) dan Cameron Highlands lima kes (0.2 peratus),” katanya.
Sepanjang tahun lepas juga katanya, enam kes kematian berkaitan denggi dilaporkan berbanding dua kes pada tahun sebelumnya.
Zainal berkata enam kes terbabit melibatkan dua kes di Jerantut, dua kes lagi di Temerloh manakala Raub dan Maran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Dalam pada itu katanya, terdapat 12 lokaliti wabak aktif semasa di Pahang dengan sembilan daripadanya melibatkan daerah Kuantan iaitu Jalan Bukit Ubi; Lengkok Kanan Tanah Putih Baru; Air Putih; Taman Astana View; Taman Pacific, Galing; Taman Balok Maju; Taman Sungai Isap 2; Perumahan Bukit Rangin dan Taman Cahaya Bukit Setongkol.
Tiga lagi lokaliti membabitkan daerah Jerantut iaitu di Perumahan Awam Kos Rendah PKT 3 dan 4, Taman Mutiara dan Perumahan Awam Kos Rendah Bandar Baru.
Beliau berkata risiko peningkatan pembiayakan nyamuk aedes adalah amat tinggi akibat sampah sarap yang tidak dilupuskan secara sempurna selepas bencana banjir yang berlaku di negeri itu.
Beliau turut meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memastikan sampah sarap dilupuskan secara sempurna selain pembersihan kawasan rumah.
Di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000), penduduk atau penghuni rumah yang membiarkan jentik-jentik aedes di premis mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA