KUALA LUMPUR – Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang menderita penyakit kanser prostat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan sejak minggu lalu mungkin akan dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihak hospital telah berkunjung ke rumah Nik Abdul Aziz pagi ini untuk membantu ahli keluarganya menyempurnakan keperluan dan persiapan buat pemimpin PAS itu apabila beliau dibenarkan pulang.
Beliau turut memaklumkan, Mursyidul Am PAS itu menunjukkan keadaaan yang semakin stabil kerana boleh duduk di kerusi roda selama setengah jam hari ini.
“Ayahanda (Nik Abdul Aziz) baru selesai latihan pemulihan sekejap tadi. Alhamdulillah ayahanda boleh didudukkan di atas kerusi roda untuk kali pertama dan mampu bertahan selama setengah jam.
“Ia sudah cukup menggembirakan saya yang menyaksikan. Semoga ayahanda bertambah gagah hari demi hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Nik Mohamad Abduh yang juga anak kepada Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sama ada muslim atau bukan muslim yang mendoakan kesihatan bapanya. -mynewshub.cc