JAIPUR (Rajasthan) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Industri India Nirmala Sitharaman dan membincangkan hubungan dua kala yang kukuh antara kedua-dua negara.
Antara lain, India meminta Malaysia, selaku pengerusi Asean pada tahun ini, untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam rundingan bagi perjanjian perdagangan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Mustapa berkata Malaysia menganggap selesainya rundingan RCEP sebagai satu daripada kejayaan semasa Malaysia menjadi pengerusi bagi kumpulan dengan 10 negara anggota.
Terdapat keazaman politik untuk memuktamadkan rundingan tersebut, katanya pada pertemuan selama 15 minit yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Perkongsian Persekutuan Industri India 2015 di sini hari ini.
RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas, melibatkan 10 negara anggota Asean dan enam negara lain iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Rundingan untuk RCEP, yang meliputi 3 bilion penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$17 trilion, dilancarkan pada November 2012 di Sidang Kemuncak Asean di Kemboja.
Mustapa turut berharap Perdana Menteri India Narendra Modi akan mengunjungi Malaysia pada tahun ini. – BERNAMA