PENEMUAN mayat warga asing yang ditemui di celah-celah semak boleh dikatakan acapkali didengari.
Persoalannya adakah mayat tersebut adalah mangsa bunuh angkara dendam atau sememangnya ditinggalkan sebegitu rupa?
Petang semalam, beberapa orang awam yang melalui kawasan perindustrian Science Park, Bukit Tengah, Bukit Mertajam gempar berikutan penemuan mayat dengan bentuk seolah-olah dikafankan dalam bungkusan selimut mawar merah dalam semak.
Memetik laporan Harian Metro, jurucakap polis berkata, mayat tersebut ditemui orang awam yang kemudiannya menghubungi polis sekitar jam 2 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, tiada sebarang kesan kecederaan luaran ditemui pada tubuh mangsa dan tiada suntikan BCG di lengannya.
“Tidak ada sebarang unsur jenayah setakat ini dan kami tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri berhampiran mangsa.
“Mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum dibuang di sini, dua tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang berbau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan mayat itu telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Pihak Polis turut meminta bantuan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=0FwV2Fqp234