KUALA LUMPUR – Klinik desa yang rosak akibat banjir buat permulaan akan beroperasi di khemah perubatan dan selepas itu di kabin sebelum bangunan klinik dibaik pulih atau bangunan baharu siap, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata kemudahan kabin akan disediakan dalam masa satu hingga tiga bulan ini dan akan digunakan sehingga bangunan baharu disiapkan yang mungkin mengambil masa satu atau dua tahun
Katanya kementerian menganggarkan sebanyak RM270 juta diperlukan untuk membaik pulih kemudahan kesihatan di negeri-negeri terlibat dengan banjir, termasuk menggantikan peralatan, hospital dan klinik yang rosak.
Terdapat lebih kurang 20 klinik yang rosak dan beberapa klinik yang separa rosak akibat banjir, katanya kepada pemberita selepas kempen derma darah bagi mangsa banjir Pantai Timur di sini, hari ini.
Kempen anjuran bersama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Temple of Fine Arts, Klinik Derma Sivasanta, Sri Satya Council dan Yayasan YAKIN bagi mengisi Tabung Bekalan Darah Pusat Darah Negara (PDN) untuk keperluan semasa negeri-negeri terlibat dalam banjir.
Dr Subramaniam berkata kementerian juga akan mengkaji kesan banjir besar baru-baru ini terhadap kemudahan kesihatan yang boleh dijadikan panduan dan untuk penambahbaikan bagi menghadapi bencana itu pada masa akan datang memandangkan persediaan kementerian sebelum ini masih ada kelemahan.
Beliau berkata mesyuarat jemaah menteri hari ini turut membincangkan beberapa isu termasuk cabaran serta masalah yang dihadapi oleh kerajaaan sewaktu banjir dan beberapa keputusan turut diambil berhubung perkara itu.
“Kami juga bincangkan mengenai lebih kurang 2,600 orang yang hilang tempat tinggal (dalam banjir) yang harus digantikan dengan tempat tinggal yang baharu,” katanya. – BERNAMA\

