
EKORAN tersebarnya gambar Mursyidul Am Pas yang kelihatan berada dalam keadaan sangat uzur, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil dengan kenyataan penjelasan mewakili pihak keluarga beliau.

Menerusi laman sosial Facebook dan Twitter Nik Abduh menjelaskan, keadaan bapanya Nik Aziz kini sememangnya uzur tetapi disifatkan sebagai ‘uzur biasa’.
Barangkali memahami antara punca kebimbangan ramai terhadap kesihatan bapanya berpunca apabila kelibat Nik Aziz tidak lagi dilihat turun solat di masjid berhampiran rumahnya seperti biasa, Nik Abduh berkata ia disebabkan oleh masalah keletihan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mengakui, kesihatan bapanya memang menurun sedikit selepas peristiwa banjir baru-baru ini.
Meskipun ramai mungkin berasa bimbang dan teringin menziarahi pemimpin Pas bergelar ‘Tok Guru’ ini, hasrat berkenaan perlu dibatalkan kerana menurut Nik Abduh, bapanya memilih untuk tidak diziarahi buat masa ini kerana perlu rehat secukupnya.
Sama-samalah kita mendoakan kesihatan yang baik buat Nik Aziz dan seluruh umat Islam yang sedang dalam keuzuran, semoga kita semua beroleh hidayah agar sentiasa berada di jalan yang diredai Allah SWT. -MYNEWSHUB


