KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu bersedia membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terjatuh ke dalam gaung akibat kejadian tanah runtuh semasa banjir di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun pada Rabu lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jabatan terbabit akan melihat keperluan itu dan memaklumkan kepada pihak kerajaan negeri.
Katanya, pada peringkat pertama pihaknya telah menerima permohonan daripada isteri Maharazir Mat Saud, 36, yang bertugas sebagai guru di Dungun untuk ditukarkan ke Kuala Terengganu.
“Kita tiada masalah untuk membantu anggota tersebut dan pihak bomba akan melihat bentuk keperluan tersebut sebelum dipanjangkan kepada kerajaan negeri.
Selain itu, kita akan berusaha untuk menukarkan isteri anggota terbabit bagi memudahkan menguruskan keperluan suaminya sepanjang menerima rawatan,†katanya ketika melawat anggota tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Pada 24 Disember lalu, empat anggota bomba dari balai bomba AMBS nyaris maut setelah kenderaan mereka terjatuh ke dalam gaung semasa cuba mengelak jalan runtuh ketika dalam perjalanan untuk memindahkan mangsa banjir di Kampung Shukor. – BERNAMA

