LIVERPOOL – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho bergurau apabila berkata dia mahu menandatangani Steven Gerrard atas pinjaman apabila kapten Liverpool itu meninggalkan kelab berkenaan.
Gerrard, 34, sudah bersetuju untuk beraksi bagi kelab Los Angeles Galaxy dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat.
Mourinho berkata dia rasa sedih bekas kapten England itu mahu meninggalkan kancah Liga Perdana Inggeris.
Apabila ditanya sama ada dia akan cuba memujuk Gerrard untuk kekal, Mourinho berkata kepada BBC 5 live: “..Atau mendapatkan dia secara pinjaman.”
Mourinho yang nyaris berjaya memancing Gerrard pada 2005, memuji pemain itu ketika dia digantikan semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Chelsea di Anfield, awal pagi ini.
Kedua-dua pasukan seri 1-1. Eden Hazard membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti sebelum Raheem Sterling menjadi penyelamat dengan gol penyamaan yang cantik pada minit ke-58.
“Saya tak gembira dia pergi. Saya suka Liga Perdana Inggeris menyimpan pemain terbaik di sini,” kata Mourinho.
“Saya percaya dia memiliki cukup kualiti beraksi dalam liga ini. Saya sedih dia akan pergi.” – BBC Sports