ACAPKALI dilihat, ramai penggemar kopi memesan secawan minuman itu dalam adunan yang sama seperti cafée latte, mocha, caramel machiatto mahupun americano. Klise bukan?
Namun, pernahkah anda mencuba secawan Salted Nuttella Latte atau Mocha + Oreo? Kalau belum, anda wajib berkunjung ke BrewYard Coffee untuk merasai sendiri fenomena tersebut.
Terletak di SS15 Subang Jaya, kafe tersebut mensajikan variasi minuman berkafein seperti kopi dan teh serta pelbagai hidangan pencuci mulut.
Bukan itu sahaja, BrewYard Coffee yang telah beroperasi sejak Mei tahun lalu turut menawarkan kepelbagaian hidangan barat termasuk pasta, pizza dan salad. Senang cakap, semua ada lah!
Menurut pemiliknya David, idea asal membuka kafe tercetus kerana dia sendiri penggemar kopi. Lantas, dia sanggup meneroka hingga ke Australia bagi mencari pengalaman dan adunan terbaik kopi untuk dihidangkan buat pelanggan.
Menjadi signature buat cafe tersebut adalah Salted Caramel Latte yang merupakan antara hidangan acapkali dipesan pelanggan.
Pemilik bersama kafe itu Ai Lee berkata, minuman tersebut telah diperhalusi beberapa kali sebelum dimasukkan ke dalam menu bagi mendapatkan rasa terbaik.
Menggabungkan rasa pahit kopi dan manis masin karamel, secawan Salted Caramel Latte yang berharga RM12 mampu membangkitkan energi pelanggan di samping meningkatkan kenikmatan berbeza dari hidangan kopi biasa.
Bagi yang inginkan rasa lemak coklat bersama kepekatan kopi pula, BrewYard turut menawarkan minuman Mocreo (RM14) iaitu adunan dua bahan, Mocha dan Oreo.
Rasa pekat coklat selari dengan krim dan kopi, ditambah taburan biskut Oreo di atasnya benar-benar meletuskan keajaiban berganda dalam setiap sedutan.
Jangan risau, pada yang tidak menggemari minuman berkopi, kafe unik itu memiliki variasi minuman tanpa kafein seperti smoothies dan jus. Waikiki shake memang dicadangkan andai anda berniat mencuba salah satu seleksi minuman sejuk di situ.
Beralih kepada hidangan pencuci mulut, BrewYard memiliki beberapa pilihan yang pasti menggugah nafsu makan anda! Hidangan terbaik di situ adalah sepinggan B.Y Waffle (Brew Yard Waffle).
Berharga RM16, ia menampilkan waffle empuk bersama dua cedok aiskrim berperisa Nutella dan Oreo yang dibuat sendiri pemilik kedai.
Bukan itu sahaja, hidangan turut disajikan bersama buah strawberi dan pisang segar, taburan kacang dan dilimpahi dengan sos Nutella di atasnya. Sungguh menyelerakan..
Buat penggemar pasta, B3 pasta yang ditawarkan memang terbaik. Menurut Ai Lee, sos pesto yang digaul bersama pasta merupakan resepi rahsia dan ‘home-made’.
Rasa kuah hijau dapat dinikmati melalui kesegaran daun basil yang dimesin bersama-sama ramuan lain. Berharga RM17, ia turut digaul bersama beef bacon, limpahan keju parmesan dan minyak zaitun.
Menjejakkan kaki ke dalam kedai, pelanggan pasti akan terpegun dengan dekorasi indah serta minimalis yang menjadi tema kafe tersebut.
Kalau ada yang jemu kerana asyik melihat bangunan tinggi dan kesesakan lalu lintas di kota, inilah tempat paling ideal untuk menghilangkan lelah tersebut sambil menikmati secawan kopi mahupun sepotong kek.
Buat ‘hantu’ kopi mahupun penggemar pencuci mulut seperti brownies dan waffle, anda boleh menjadikan kafe ini salah satu tempat melampiaskan ketagihan tersebut.
Tak kenal maka tak cinta, BrewYard merupakan lokasi eskapisme terbaik warga Lembah Klang. Empat bintang! -MYNEWSHUB.CC
* Sesi mencuba makanan di Brew Yard Coffee merupakan kerjasama bersama FoodAdvisor.my, sebuah laman sesawang yang menawarkan bantuan untuk pengguna mencari lokasi makanan terbaik di kawasan terdekat. Kunjungi www.FoodAdvisor.my untuk informasi.
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Foto: HAZIQ EHSAN









