KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA).
KWSP dalam satu kenyataan media memberitahu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias pula dilantik sebagai Setiausaha Agung persatuan tersebut.
“ASSA merupakan sebuah badan serantau yang mewakili semua organisasi keselamatan sosial negara ASEAN.
“Melalui penubuhan ASSA, kerjasama serantau dapat diwujudkan di kalangan organisasi keselamatan sosial terutamanya dalam bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan,” kata kenyataan itu hari ini.
Shahril berkata, ASSA sebuah persatuan yang aktif dalam penyelidikan dan perbincangan mengenai faedah sosial serta cabaran berkaitan perubahan demografi.
Menurutnya, setiap tahun ASSA akan menghimpunkan pihak industri dan penyelidik dari serata dunia untuk berbincang, berkongsi amalan terbaik dan mencari jalan untuk menangani isu-isu berkaitan keselamatan sosial.
Justeru, katanya, KWSP berbangga dengan perlantikan itu kerana ia menggiatkan lagi usaha KWSP untuk merencanakan penubuhan Majlis Keselamatan Sosial Kebangsaan di Malaysia memandangkan negara akan berhadapan dengan isu keselamatan sosial seperti yang sedang dialami di kebanyakan negara maju.
Beliau berkata, terdapat pelbagai isu keselamatan sosial yang perlu ditangani seperti penurunan kadar kelahiran dan penduduk menua, ketaksetaraan pendapatan, ketidakseimbangan agihan kekayaan, penghijrahan wilayah dan akses kepada penjagaan kesihatan termasuk menyediakan pendidikan yang sempurna.
“Ketidakcukupan simpanan persaraan juga merupakan salah satu cabaran yang akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, adalah penting bagi agensi kerajaan dan badan berkanun, sama ada di dalam atau luar negara untuk menerajui dan merumus rangka keselamatan sosial yang komprehensif dan mampan,†katanya. – mynewshub.cc

