CYBERJAYA – Sejumlah 21 daripada 22 individu yang diminta tampil untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu banjir di aplikasi pesanan dan laman sosial telah pun memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Manakala, seorang lagi individu telah membuat temujanji untuk tampil memberi keterangan pada pertengahan bulan Januari 2015.
Individu-individu tersebut telah tampil untuk memberi keterangan di pejabat MCMC di Cyberjaya, Pejabat Wilayah MCMC dan balai polis. Mereka mula tampil secara bberperingkat bermula pada 29 Disember 2014 hingga ke hari ini.
Semua kes akan diperkemas dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
MCMC sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat sepuluh kes berita palsu banjir yang dikenal pasti. Pihak polis juga telah menahan seorang individu empat hari lalu di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana disyaki menyebarkan berita palsu banjir.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Masyarakat umum dinasihati agar tidak bertindak dengan emosi dan menyebarkan berita yang belum ditentukan kesahihannya atau memapar semula berita tanpa usul periksa.
Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) MCMC adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia.
MCMC mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.
Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada MCMC peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri. Menteri boleh juga mengeluarkan arahan mengenai dasar kepada Suruhanjaya.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mcmc.gov.my dan untuk penjelasan lanjut, sila hubungi:
Tel: +603 8688 8000
Faks: +603 8688 1007
E-mel: ccd@cmc.gov.my
SUMBER : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) – BERNAMA