BAPA pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad, Rosli Abdul Rahim menolak tawaran dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memberi bantuan zakat mengikut kategori asnaf fakir dan miskin untuk keluarganya.
Beliau yang berusia 44 tahun, menolak tawaran tersebut selepas berasa lebih ramai lagi keluarga yang layak menerima zakat mengikut asnaf kategori itu berbanding mereka.
“Saya tak nak terima bantuan itu (asnaf fakir miskin)… bukan saya sombong tapi saya rasa ada yang lebih susah daripada kami. Berikanlah kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.
BACA JUGA – Bapa Kesal Ahmad, Muhammad Sukar Dapat Bantuan
Mstar Online hari ini melaporkan beliau turut menolak tawaran sebelum ini yang pernah mahu diberikan kepadanya oleh LZS dengan alasan tidak mahu tersalah guna untuk perkara yang tidak sepatutnya.
“Wang zakat ini membabitkan urusan kita dengan Allah, jadi ia tidak boleh digunakan sesuka hati. Lebih baik saya terima bantuan yang sememangnya diperlukan oleh kedua-dua anak saya itu sahaja,” katanya.
Laporan itu memetik Rosli sebagai berkata beliau masih mampu menyara makan dan minum keluarga besar mereka dengan tenaganya yang masih kuat sehingga hari ini.
“Saya masih boleh menyara keluarga. Syukur kerana saya masih diberi kesihatan yang baik. Sekiranya saya sakit, itu lain ceritalah,” katanya.
Beliau tetap dengan keputusan sebelum ini untuk hanya menerima zakat mengikut asnaf gharimin iaitu untuk menampung perbelanjaan bulanan membeli lampin pakai buang dan beg najis Ahmad dan Muhammad.
“Saya hanya akan terima bantuan untuk perubatan dan keperluan anak saya sahaja. Bantuan ini (asnaf gharimin) pun saya rasakan sudah cukup untuk membantu along dan angah (Ahmad dan Muhammad),” katanya.
Sebelum ini, pasangan adik-beradik itu layak menerima bantuan zakat kategori asnaf gharimin selama dua tahun iaitu pada 2013 dan 2014, bagaimanapun ia tidak dituntut kerana prosesnya yang tidak begitu ‘mesra’ pelanggan.
Pengurus Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan pihaknya, keluarga Rosli layak memohon bantuan fakir miskin tetapi ditolak.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai borang permohonan terbaharu bantuan asnaf gharimin untuk Ahmad dan Muhammad, Rosli berkata, isterinya akan menyerahkan borang tersebut dalam tempoh terdekat.
“Hari ini, saya tak boleh nak hantar isteri saya. Lagipun surat pengesahan doktor masih belum sempat diambil. Namun borang itu akan diserahkan sama ada esok atau paling lewat dalam minggu ini,” katanya. -MYNEWSHUB.CC
Proses Memandikan Bayi KembarÂÂ

