NILAI – Seorang pemilik rumah teres dua tingkat Semi-D di sini disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara kerana didakwa membuat penyambung paip secara tidak sah semata-mata untuk mengubah suai rumahnya.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) dalam satu kenyataan media memberitahu, perbuatan itu dikesan dalam satu serbuan oleh Unit Penguatkuasaan Sains ke atas premis itu pada 6 Januari lalu.
“Serbuan dijalankan pada pukul 11 pagi. Ketika serbuan, penguatkuasa Sains mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 14mm.
“Air yang diperolehi daripada penyambungan tidak sah itu didapati digunakan untuk mengubahsuai premis. Pegawai penguatkuasa SAINS telah menjalankan ujian klorin danterbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains. SPAN telah menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara yang memperuntukan denda RM100,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kata kenyataan itu, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.
“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW),” kata kenyataan itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982. Maklumat pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tambah kenyataan itu. – mynewshub.cc

