PUTRAJAYA – Sebanyak 120 sukarelawan dari pelbagai jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini berlepas ke Kelantan untuk membersih pejabat dan rumah petugas KKMM yang terjejas banjir.
Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan KKMM itu akan membersihkan pejabat Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas dan pejabat RTM di daerah-daerah.
Kumpulan berkenaan turut membawa makanan kering, lampin pakai buang, al-Quran, sejadah, telekung dan pakaian sekolah.
Misi diketuai Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKMM, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan KKMM.
Mereka dijangka berada di Kelantan sehingga Sabtu.
Konvoi dilepaskan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, menggunakan dua buah bas, 10 kenderaan pacuan empat roda dan dua buah van.
Sharifah Zarah merakamkan penghargaan kepada Kelab Sukan dan Kebajikan KKMM di atas penganjuran program tersebut.
Beliau turut mengingatkan para sukarelawan untuk menjaga aspek kesihatan dan kebersihan diri seperti memakai penutup muka semasa melakukan kerja-kerja pembersihan. – BERNAMA