KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyaksikan Pameran Koleksi Terpilih Raja-Raja Melayu Siri II di Muzium Diraja di sini hari ini.
Berangkat sama ke pameran itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda iaitu Tunku Zain Al’Abidin.
Kehadiran keluarga diraja itu pada kira-kira 11.30 pagi tadi disambut oleh Ketua Pengarah Muzium Datuk Ibrahim Ismail.
Menurut Ibrahim, pameran itu pada kali ini memaparkan koleksi peribadi Raja-Raja dari Negeri Sembilan dan Kelantan.
“Pameran yang bermula sejak 1 Dis lalu merupakan siri kedua selepas siri pertamanya diadakan pada awal tahun ini dan telah memilih koleksi peribadi daripada tiga Raja-Raja Melayu dari Perlis, Kedah dan Pahang.
“Manakala, pada siri kedua ini, kami memilih Raja-Raja dari Kelantan dan Negeri Sembilan kerana keduanya memiliki koleksi peribadi yang menarik untuk dipamerkan di sini sehingga 1 Mac nanti,” katanya kepada media selepas mengiringi Tuanku Muhriz sepanjang lawatan itu.
Menurutnya Ibrahim, pameran itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai fungsi dan peranan Institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
“Setiap koleksi kami sertakan dengan penerangan bertulis di mana pengunjung lebih mudah mengenali setiap koleksi yang dipamerkan. Selain itu, antara koleksi menarik yang kami paparkan di Balairung Seri ini ialah koleksi jersi dari Tuanku Muhriz di mana baginda amat meminati sukan bolasepak dan merupakan penyokong tegar pasukan bola sepak Arsenal.
Kita juga turut mempamerkan dua ekor binatang kesukaan Tuanku yang telahpun diawet iaitu harimau dan juga buaya,” katanya.
Muzium Diraja itu dahulunya adalah Istana Negara lama yang merupakan sebuah rumah agam dibina pada tahun 1928 dan penggunaannya sebagai istana berakhir pada November 2011 apabila Kompleks Istana Negara yang baharu didirikan di Jalan Duta. – BERNAMA