Turki menjadi negara umat Islam yang paling banyak mempunyai universiti tersenarai dalam 100 universiti terkemuka negara membangun menurut Times Higher Education (THE) 2015.
Tiga universitinya berada dalam senarai 10 universiti terbaik dalam THE ‘BRICS dan Emerging Economies Rankings (kedudukan negara ekonomi yang sedang membangun) 2015 manakala lapan di 100 terbaik dalam senarai itu.
BRICS merujuk kepada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan yang dianggap sebagai negara membangun utama di dunia.
Middle East Technical University menduduki tangga ketiga senarai itu, naik 6 anak tangga dari kedudukan ke-9 pada 2014.
Ia menjadikan universiti itu yang terbaik di kalangan universiti negara Islam berdasarkan senarai THE.
Universiti Bogazici pula kedua apabila berada di tangga ke-7 dalam senarai itu, jatuh 2 anak tangga dari tangga ke-5 tahun lalu manakala Universiti Teknikal Istanbul berada di tangga ke-8, jatuh 1 anak tangga dari tangga ke-7 tahun lalu.
Dua universiti China menduduki 2 tempat utama di senarai itu dengan Universiti Peking menduduki tangga pertama manakala Universiti Tsinghua menduduki tempat kedua.
Hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi satu-satunya universiti dari Malaysia yang termasuk dalam senarai 100 terbaik mengikut kategori ini.
Dua universiti utama di Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghantar penyertaan untuk senarai ini kerana memilih QS World University Ranking yang dikatakan lebih sesuai dengan Malaysia. – The Malaysian Insider

