HULU TERENGGANU – Tahap kebersihan di Terengganu sudah menunjukkan perubahan apabila sampah dipungut tidak kira siang atau malam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata bagaimanapun masih terdapat masalah terpencil seperti waktu hujan baru-baru ini yang menyebabkan pekerja sukar atau terlewat memungut sampah.
Namun Alhamdulillah, kerja membersih sampah pada waktu banjir pun berjalan dengan baik di mana tiada lagi rungutan orang ramai bahawa sampah tidak diangkut,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kebersihan dan keindahan kampung peringkat negeri di sini hari ini.
Justeru bagi mengekalkan tahap kebersihan yang memuaskan, beliau berkata mulai tahun hadapan, kerajaan akan melantik kontraktor baharu bagi kerja-kerja kebersihan dengan mereka disyaratkan mempunyai lori sampah sendiri.
Katanya kerajaan telah menambah 11 buah lori sampah baharu kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM3.6 juta dan menambah dua buah lori sampah untuk Majlis Daerah Hulu Terengganu dengan peruntukan RM440,000.
Di majlis itu, Kampung Payang Kayu di sini dinobat juara bagi luar kawasan operasi PBT manakala Kampung Alor Limbat, Marang juara bagi kawasan dalam operasi PBT, yang kedua-dua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing menerima RM250,000 serta tambahan RM25,000. – BERNAMA