BASEL (Switzerland) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa pelabur meneroka peluang di Perlis terutama dalam sektor teknologi hijau, pelancongan dan pembangunan bandar baharu.
Titah baginda kewujudan Taman Teknologi Pauh Putra yang menumpukan kepada teknologi hijau dan bersih sewajarnya dimanfaatkan oleh pelabur dari dalam dan luar negara.
Perlis juga berpotensi sebagai pusat kegiatan penyelidikan dan pembagunan bioteknologi, pemprosesan herba dan pusat benih pertanian yang boleh dibangunkan secara komersial, titah baginda kepada Bernama di sini pada Ahad.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berada di sini sejak Khamis bagi mengetuai delegasi Jelajah Ilmu UniMAP ke-10 yang antara lain bertujuan mendedahkan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP kepada ruang kerjasama dengan pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi di samping mendekati pembangunan teknologi di Switzerland.
Baginda turut menggesa pelabur memanfaatkan pembangunan tiga bandar baharu iaitu Bandar Baru Pauh Putra, Bandar Baru Chuping Valley dan Bandar Maritim Kuala Perlis yang berpotensi besar dalam mengembangkan sektor pelancongan dan maritim negeri itu.
Terdahulu baginda berkenan melancarkan promosi masakan Perlis di Jeffery’s Restaurant milik usahawan Malaysia Datuk S. Jeffery, anak jati Kulim, Kedah yang berjaya mencipta nama di Switzerland.
Khamis lepas baginda melancarkan promosi serupa di Zurich. Promosi masakan Perlis merupakan inisiatif baginda sejak beberapa tahun lepas bagi menyemarakkan sektor pelancongan Perlis.
Sementara itu, Jeffrey, 65, berkata beliau mengusahakan restoran di Riehenring 77 tersebut sejak 42 tahun lalu.
Jeffrey yang juga Konsul Kehormat Malaysia di Basel dan Penasihat Pelancongan Malaysia di Switzerland, berkata restorannya banyak memainkan peranan membantu pelancongan Malaysia dan akan berusaha menaikkan nama Perlis sebagai antara destinasi menarik di Malaysia.
Promosi di restorannya dianjur dengan kerjasama UniMAP, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan agensi pelancongan BMC Travel.
Berangkat sama ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Yang turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Zulkephli Mohd Noor, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan bekas Presiden Parlimen Basel Felix Rudolph.
Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin dan delegasi singgah di University of Basel, iaitu antara institusi pengajian tinggi utama di bandar ini. – BERNAMA
