• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Wednesday, May 20, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Perlantikan Adenan Perkembangan Politik Paling Menarik Sarawak

oleh Ahmad Albab
17/12/2014
dalam Politik
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUCHING – Pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Mac lepas merupakan perkembangan politik paling menarik bagi Sarawak dan rakyatnya pada 2014.

Pelantikan bekas peguam berusia 70 tahun itu juga sekali gus menjawab soalan yang berlegar sejak sekian lama tentang tokoh yang akan mengambil alih tugas Tun Abdul Taib Mahmud, ketua eksekutif negeri paling lama menyandang jawatan di Malaysia.

Taib berundur secara rasmi pada 28 Feb setelah menyandang jawatan itu selama 32 tahun.

Pada mulanya, banyak pihak meragui kemampuan tokoh pilihan Taib ini, tetapi setelah lapan bulan memegang jawatan, Adenan dengan ketara membuktikan kepada umum bahawa beliau sememangnya layak menyandang jawatan itu untuk membuka lembaran baharu bagi rakyat di negeri terbesar di Malaysia ini.

Melalui kelebihan tersendiri yang dimilikinya, Adenan berjaya menghapuskan persepsi negatif tentang diri beliau sebelum dilantik menerajui negeri ini, menepati kata-kata yang diungkapkan Taib pada hari terakhir beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Adenan menghadapi ujian pertama sebagai Ketua Menteri apabila beliau terpaksa memikul tanggungjawab menerajui kempen menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian yang dikosongkan Taib, sejajar dengan kedudukan beliau sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

PRK berkenaan juga menjadi medan untuk menguji populariti beliau apabila BN menetapkan sasaran untuk meraih kemenangan lebih besar bagi kerusi majoriti etnik Melanau itu.

BN meletakkan bekas pegawai daerah Yussibnosh Balo, 48, sebagai calonnya untuk berdepan dengan lebih kurang 13,000 pemilih berdaftar, dan akhirnya meraih majoriti lebih besar iaitu 6,911 undi dalam PRK pada 29 Mac itu.

Pencapaian itu lebih bermakna bagi BN apabila ia menang di semua 10 kawasan mengundi di Balingian – sesuatu yang tidak pernah belaku sebelum ini, sekali gus memberi kelebihan kepada Adenan untuk menyelesaikan beberapa isu tertangguh melibatkan Sarawak.

Satu daripadanya ialah usaha mendapatkan lebih banyak royalti bagi minyak dan gas, manakala pada 6 Mei, satu sejarah penting tercipta apabila kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menyokong Rang Undang-undang penambahan royalti daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

Ia merupakan pendirian sebulat suara dewan itu tentang isu yang menjadi topik perbincangan hampir setiap rakyat Sarawak apabila mereka membandingkan pencapaian pembangunan antara negeri mereka dan negeri lain di semenanjung.

Ketika menggulung perbahasan pada persidangan DUN 19 Nov, Adenan berkata rundingan tentang penambahan bayaran royalti itu dengan Petronas berjalan lancar dan kerajaan Sarawak mencapai beberapa kejayaan awal mengenainya.

Antaranya mengenai ekuiti 10 peratus dalam loji pemprosesan baharu Gas Asli Cecair Malaysia (MLNG); peruntukan gas asli bagi sektor kuasa dan bukan kuasa Sarawak; pemberian lebih banyak kontrak kepada syarikat Sarawak; penambahan peruntukan untuk pendidikan dan latihan teknikal; dan pelaksanaan lebih banyak Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Kerajaan persekutuan membayangkan mereka akan memberi pertimbangan serius terhadap permohonan kerajaan negeri agar bayaran tunai bagi pampasan mengenai hak minyak dan gas akan ditambah,” kata Adenan, sambil menjelaskan bahawa rundingan mengenainya masih berjalan dan keputusan tentang perkara itu dijangka mengambil sedikit masa untuk dimuktamadkan.

Di samping isu royalti, satu lagi isu mencabar yang timbul di Sarawak pada tahun ini dan memerlukan kemahiran Adenan untuk berunding ialah untuk menyatukan kumpulan yang bertelagah dalam dua parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada 15 Mei, 11 wakil rakyat BN di Sarawak, termasuk dua anggota Kabinet negeri dan empat menteri muda, membuat kejutan apabila mereka meninggalkan SPDP dan SUPP untuk menyertai parti baharu dikenali sebagai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga presiden SPDP, dan Menteri Kewangan Kedua dan bekas penolong setiausaha agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh adalah antara tokoh yang bertindak demikian kerana mendakwa mereka menjadi mangsa perebutan kuasa dalam bekas parti masing-masing.

Turut mengikut langkah mereka ialah anggota DUN Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang (bekas anggota SPDP), Datuk Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong Ngipa dan Ranum Mina (bekas anggota SUPP).

Senario politik Sarawak mengalami satu lagi perubahan pada 17 Julai apabila Soon Koh serta puaknya, bekas anggota SUPP, mengumumkan menyertai parti baharu dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Adenan mengaku kemunculan Teras dan UPP sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kekuatan serta perpaduan BN Sarawak dan beliau memerlukan masa untuk mencari penyelesaian terbaik bagi masalah itu.

“Parti pembangkang mungkin mendapat keuntungan (daripada isu ini), tapi saya sedang berusaha mencari penyelesaiannya…Saya tidak mampu menyelesaikannya dengan serta-merta. Berilah saya masa, mungkin satu atau dua tahun,” kata Adenan pada satu perhimpunan di Sibu pada 4 Ogos.

Selain bidang politik, beliau juga membuat beberapa keputusan penting yang bukan sahaja mendapat pujian penyokong kerajaan negeri, tetapi juga pembangkang.

Antaranya ialah apabila hanya selepas tiga bulan menyandang jawatan Ketua Menteri, Adenan muncul sebagai Ketua Eksekutif Negeri pertama di Malaysia yang menandatangani ikrar integriti dalam usaha memerangi rasuah.

Beliau juga memberi penekanan terhadap usaha memperkemaskan penguatkuasaan undang-undang negeri bagi mengekang kegiatan pembalakan haram, yang katanya, jika dibiarkan, boleh memusnahkan sumber hutan Sarawak akibat amalan rasuah.

Di samping itu, Adenan menegaskan sekali lagi pendirian Sarawak untuk menentang pelampau kaum dan agama dengan menyatakan bahawa negeri ini mempunyai kuasa autonomi untuk menghalang sesiapa sahaja yang didapati cuba menganjurkan sikap negatif itu daripada memasuki Sarawak.

Pendirian itu hanyalah sebahagian daripada langkah yang diambil Adenan dalam tempoh 11 bulan beliau menjadi Ketua Menteri bagi membuktikan keazaman beliau untuk mengotakan apa yang beliau katakan.

Sesungguhnya, dengan pelbagai perubahan positif serta langkah drastik yang beliau laksanakan, pelantikan Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak wajar dinobatkan sebagai perkembangan paling menarik dan bermakna bagi Sarawak pada 2014. – BERNAMA

Tags: Adenan Satem
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Namakan Lapangan Terbang Kuching Sempena Adenan

05/04/2017
0

KUCHING - Seorang bekas menteri Sarawak, Tan Sri Leonard Linggi Jugah hari ini mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di...

Watson Nyambek Bantu Calon BN PRK Tanjong Datu

12/02/2017
0

KUCHING - Sokongan padu rakyat dan cetusan semangat terus diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd