Kadang-kadang, menjadi kebiasaan untuk kita membeli sesuatu barangan tanpa melihat bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
Inilah yang berlaku kepada seorang pelanggan sebuah kedai perkakas rumah terkemuka apabila terbeli berus botol yang diperbuat daripada bulu babi, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi status akaun Facebooknya, A Shukor Zuraida yang berbunyi:
“For my muslim FB friends: I’ve been looking for straw brush and found this. Bought it from Mr DIY shop without checking the details. It’s made of ‘white pig bristles’. Pls share wth our muslim brothers and sisters.”
Secara kasarnya, mungkin pembaca menganggap ia merupakan kesilapan pelanggan itu kerana tidak meneliti terlebih dahulu maklumat yang disertakan di bahagian belakang bungkusan berus itu.
Namun, kami yakin jika pihak MR. D.I.Y. mengasingkan produk tidak halal dengan produk lain, pasti tidak akan berlaku kejadian sebegini.
Menerusi Facebook Sukan Star TV pula, pihak kedai tersebut memberitahu penjualan produk tersebut sudah dihentikan dan mereka sedang mencari penyelesaian untuk perkara itu.

Diharapkan perkara ini dijadikan iktibar bukan sahaja oleh para pembaca yang beragama Islam di luar sana, tetapi juga kepada pihak kedai agar lebih sensitif dalam menyusun atur barangan mereka. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: ELZA



