China – Malang menimpa seorang penunggang motosikal, Shaiming Liang, apabila dia `dibakar’ hidup-hidup selepas kabel elektrik berkuasa tinggi terputus dan menimpa motosikal yang dinaikinya di sebuah jalan di Wuning.
Keadaan itu menyebabkan Liang terbakar serta-merta selepas kabel itu terkena kepalanya.
Selepas tubuhnya terbakar, motosikal yang dinaikinya meletup, menyebabkan orang ramai yang berada di jalan tersebut terkejut.
Menurut seorang saksi, Gang Shih, 27, dia mendengar bunyi letupan dan kemudian seorang lelaki menjerit sebelum api marak membakar badan lelaki terbabit.
“Pada mulanya saya tidak menyangka kejadian itu melibatkan hanya seorang mangsa namun saya kemudiannya melihat motosikalnya terbakar dan kabel berkuasa tinggi menimpa penunggang terbabit.
“Saya dapat lihat asap dari badan lelaki itu dan kemudian tubuhnya terbakar. Ia akan kekal dalam memori saya,’’ katanya.
Hanya selepas elektrik dimatikan, barulah bomba dapat mengalihkan mayat Liang yang rentung itu.

