SEREMBAN – Seorang juruteknik maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori di KM258, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, pagi ini.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, Muhammad Akmal Arifen, 23, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pedas Indah, Rembau.
Katanya mangsa yang ketika itu di dalam perjalanan sedang melalui kawasan berkenaan dikejutkan dengan kehadiran sebuah lori yang mengakibatkannya merempuh bahagian belakang kenderaan terbabit.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh sejauh lima meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan kerana cedera parah di bahagian kepala,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – BERNAMA

