PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi baharu Felda meneruskan semangat penerokaan generasi pertama dengan melakukan transformasi minda untuk meneroka hutan batu melalui penggunaan internet dan teknologi terkini.
Berucap merasmikan Himpunan Ikatan Hati Warga Felda (Himpunan Iktiraf) Kebangsaan 2014 di sini hari ini, Najib berkata pendekatan untuk meningkatkan tahap ekonomi antara generasi pertama dan ketiga Felda sudah berubah tetapi asas perjuangannya tetap sama.
“Generasi pertama Felda telah teroka hutan rimba, tetapi generasi hari ini mampu meneroka hutan batu tapi bukan gunakan kapak atau jentolak tetapi menggunakan minda dan akal fikiran.
“Internet, teknologi baharu, teknologi biotek dan segala penemuan menjadi senjata kita untuk menjayakan generasi kedua dan ketiga dan sebab itu saya kata yang penting ialah tranformasi minda,” katanya.
Menyifatkan perjalanan Felda selama 58 tahun yang sangat gemilang, Najib berkata tiada mana-mana negara yang berjaya mengikut jejak langkah seperti dilakukan Malaysia dalam membangunkan masyarakat luar bandar seperti Felda.
Beliau berkata generasi baharu Felda perlu mempunyai kebolehan.
“Generasi baharu Felda perlu ada kemahiran walaupun tidak layak ke universiti mereka perlu mengikuti latihan vokasional atau teknikal atau bermain bola sepak bersama Felda United,” katanya.
Najib turut menyentuh tentang dua projek terbaharu Felda yang diyakini mampu memberi impak besar kepada warga Felda iaitu projek ladang ikan sturgeon dan pusat penternakan udang galah.
“Kedua-dua projek ini bertujuan membangunkan masyarakat luar bandar Felda dan menjadikan Felda sebagai gergasi ekonomi,” kata perdana menteri.
Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan beberapa anugerah kategori kumpulan dan individu bagi Anugerah Belia Felda Malaysia yang kini dikenali sebagai Piala Perdana Belia Felda Malaysia. – BERNAMA