KUALA NERUS – Fenomena ribuan kerang terdampar di pesisir pantai kembali menggemparkan masyarakat negeri ini, bagaimanapun kali ini di Pantai Seberang Takir, di sini, menjadi lokasi terbaharu pendaratan spesies tersebut.
Sebagaimana kejadian yang berlaku di Pantai Rusila, Marang pada bulan lalu, keadaan sama turut dapat dilihat di Pantai Seberang Takir apabila orang ramai mula mengerumuni kawasan berkenaan untuk mengutip kerang.
Kejadian disifatkan luar biasa dan tidak pernah berlaku di pesisir pantai berkenaan, turut mengakibatkan pengunjung begitu ghairah mengutip spesies tersebut walaupun dalam keadaan ombak besar.
Difahamkan, penduduk mula mengetahui kerang memenuhi kawasan berkenaan pada awal pagi semalam, dan keadaan bertambah sesak dengan orang ramai menjelang waktu petang.
Minta pengunjung utamakan keselamatan
Dalam kemeriahan tersebut, penduduk setempat turut menyuarakan kebimbangan apabila ada dalam kalangan pengunjung yang membiarkan anak kecil mereka mendekati kawasan air yang berombak besar.
Penduduk, Rosamiza Omar, 47, berkata, tidak dinafikan ramai yang ghairah dengan situasi luar biasa itu, tetapi jangan sampai mengabaikan keselamatan.
“Seingat saya, kejadian kerang mendarat di pantai belum pernah berlaku lagi di kawasan ini. Ia sememangnya menimbulkan kesungguhan dan semangat luar biasa penduduk setempat.
“Tetapi, jangan sampai kita mengabaikan keselamatan kerana nyawa lebih penting berbanding perkara lain. Keadaan pantai ketika ini sangat bahaya dengan keadaan laut bergelora dan ombak besar,†kata anak jati Seberang Takir itu.
Menurut Rosamiza lagi, bukan sahaja kanak-kanak, bahkan keselamatan orang dewasa yang turut serta dalam aktiviti mengutip kerang juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.
“Dalam kes di Pantai Rusila, Marang sebelum ini, beberapa pengunjung nyaris lemas ketika sedang asyik mengutip kerang. Jadikan detik cemas itu sebagai iktibar buat semua.
“Meskipun tidak tahu dengan jelas punca kerang memenuhi kawasan pantai ini, tetapi saya tak tolak kemungkinan faktor ombak kuat yang menolak kerang naik ke darat,” katanya.
Tahu melalui laman sosial
Sementara itu, pengunjung, Mohamad Fariz Abdullah, 25, berkata, dia sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mengutip kerang setelah mengetahui kejadian tersebut melalui laman sosial.
“Saya dapat maklumat ada banyak kerang di Pantai Seberang Takir sejak pagi tadi (semalam) melalui laman sosial, sebelum memaklumkan kepada rakan-rakan untuk datang ke sini.
“Aktiviti sebegini memang menyeronokkan. Bukan untuk kutip kerang semata-mata, sebaliknya lebih kepada ingin berseronok kerana fenomena kerang mendarat di pantai merupakan perkara luar biasa,†katanya yang tinggal di Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.
Menurut Mohamad Fariz, ketika fenomena kerang mendarat di Pantai Rusila sebelum ini, dia dan rakan-rakan turut mengambil kesempatan mengutip spesies tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia dan rakan-rakan tetap mementingkan keselamatan dengan hanya mengutip kerang di tepi pantai, tanpa perlu masuk ke dalam air.
“Aktiviti mengutip kerang sememangnya menyeronokkan dan dalam masa sama, kita dapat nikmati makanan laut itu secara percuma hasil kutipan dilakukan sendiri,†katanya yang mengakui saiz kerang tersebut jauh lebih kecil berbanding kerang dijual di pasaran.
– SINAR HARIAN