KUALA LUMPUR – Taufan Hagupit yang membawa angin kencang timur laut dikesan kira-kira 914 kilometer ke timur laut Kudat, Sabah dengan pergerakan ke arah barat laut berkelajuan 15 kilometer sejam (kmsj) pada 5 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan Isnin berkata taufan tersebut dikesan pada latitud 13.0 utara dan longitud 122.4 timur.
Justeru itu, amaran angin kencang timur laut dan laut bergelora (kategori pertama) dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter diramal berlaku di kawasan perairan Sabah (Sandakan dan Tawau), Sulu dan Sulawesi yang dijangka berterusan sehingga Rabu ini.
Keadaan yang sama turut diramal berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Bintulu, Mukah, Rejang, Kuching, Sarawak; Samui, Tioman serta Reef South dan dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Angin kencang timur laut dan laut bergelora kategori kedua dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berterusan di kawasan perairan Sabah, Labuan, Miri, Sarawak, Condore, Reef North, Layang-layang serta Palawan sehingga Jumaat ini.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

