KOTA BAHARU (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerima lebih 4,500 panggilan sehari melalui talian kecemasan 999 sejak bencana banjir melanda beberapa negeri.
Timbalan Ketua Setiausahanya Datuk Che Azemi Haron berkata berikutan itu, kementerian mengambil pendekatan mengehadkan tempoh bagi setiap panggilan bagi melancarkan sistem rangkaian.
“Biasanya kita terima 1,400 panggilan dalam tempoh sebulan tetapi sejak 25 Dis, panggilan kecemasan 999 meningkat tiga kali ganda menyebabkan kita terpaksa hadkan tempoh panggilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Media, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Geospatial Kamarul Muhamad dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Kelantan Rashid Osman.
Che Azemi berkata kementerian telah menukar prosedur operasi standard dengan menghubungkan terus panggilan itu kepada ibu pejabat jabatan berkaitan banjir seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Sebelum ini kita akan tanya pemanggil lebih terperinci tetapi sekarang kita hadkan sebab banyak panggilan akan diterima dan kita hubungkan terus kepada ibu pejabat berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Kamarul berkata syarikatnya memperkenalkan satu sistem dikenali ‘Small Unmanned Aerial System (SUAS)’ yang berupaya mengesan mangsa banjir dengan menggunakan pesawat secara lebih terperinci dan cepat melalui suhu badan manusia.
“Sistem yang buat pertama kali digunakan itu berupaya mengesan mangsa banjir yang berada di kawasan terpencil dengan menggunakan ‘thermal camera,” katanya.
Beliau berkata sistem itu juga mampu merakam visual dengan lebih rendah dan membolehkan ia dirakam dengan lebih terperinci.
“Selain kita memantau dan merakam, sistem ini juga boleh menyebarkan maklumat secara langsung ketika berada di udara dan itu kita perlu libatkan kerjasama Telekom Malaysia,” katanya.– BERNAMA
VIDEO SAMPINGAN: Panggilan kecemasan 999 Terengganu style

