Bermula pada pukul 12 tengah hari, 22 November depan, Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akan menghentikan lorong tunai bagi pengguna dan hanya mengaktifkan pembayaran secara elektronik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), para pengguna yang menggunakan perkhidmatan di kedua-dua laluan tersebut perlu membuat pembayaran melalui kad Plusmiles, Touch n Go dan SmartTag sahaja.
Bagi melancarkan perlaksaan sistem tersebut, pihaknya turut menyediakan 1 juta kad Plusmiles pada harga promosi iaitu RM 5.
Ia boleh dibeli di lorong tambah nilai mahupun Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi di kedua-dua plaza tol itu.
Selain itu juga, 100,000 unit SmartTag juga dijual pada harga promosi RM 99, kurang RM 21 daripada harga asalnya, RM 120. Ia ditawarkan kepada pengguna yang menambah nilai kad sekurang-kurangnya RM 30.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut berkenaan perlaksanaan mahupun promosi yang ditawarkan, orang ramai bolehlah menghubungi hotline Pusat Trafik LLM 1-800-88-7752 atau Plus 1-800-88-0000. – MYNEWSHUB.CC

