KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kawasan Segambut, Lim Lip Eng mendabik dada kerana aduan yang beliau buat mengenai pusat cuci kereta haram di kawasannya mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau mendakwa, hanya dalam tempoh empat hari aduan itu dibuat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bertindak pantas merobohkan pusat cuci kereta haram tersebut.
“Minggu lalu saya terima aduan satu tempat cuci kereta yang baru muncul di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman City. Saya buat aduan kepada DBKL dan TNB.
“Setelah empat hari aduan dibuat, cuci kereta haram itu telah diroboh oleh pihak penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lip Eng mendakwa, beliau sebenarnya mengesan sekurang-kurangnya dua atau tiga cuci kereta haram wujud di setiap kawasan Taman Perumahan di Segambut.
Menurutnya, kebanyakan pusat cuci kereta itu beroperasi tanpa permit kerana mencuci kereta di tapak terbuka.
Dakwanya, aktiviti cuci kereta secara haram merupakan salah satu punca yang paling utama pembaziran sumber air di Lembah Klang.
Justeru, katanya, DBKL patut memantau serta mengambil tindakan tegas berhubung isu cuci kereta haram di ibu negara.

