DUNGUN – Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) merancang memperkenalkan lebih banyak program peringkat ijazah dalam usaha menjadikan politeknik sebagai institut pengajian pertama pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar berkata sehingga kini, politeknik mempunyai tujuh program peringkat ijazah yang dilaksanakan sejak tahun lalu di tiga politeknik premier iaitu Politeknik Ungku Omar Perak, Politeknik Shah Alam Selangor dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor.
“Antara program tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan) dengan Kepujian.
“Tiga lagi program ialah Sarjana Muda Reka Bentuk Komunikasi Visual dan Media Baharu dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Eletronik Perubatan) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automotif) Dengan Kepujian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kem Latihan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MaipTAAC) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini petang semalam.
Mohlis berkata pihaknya akan melihat kepada keperluan semasa dan akan memperkenalkan beberapa program lain peringkat ijazah di politeknik yang terpilih.
“Di politeknik, sebenarnya kami memperkenalkan program-program yang tidak ditawarkan di universiti lain sebab ia berbentuk kejuruteraan dan teknologi yang membuka peluang lebih luas untuk pelajar diploma lepasan politeknik meneruskan pengajian,” katanya.
Mengulas mengenai kebolehpasaran graduan politeknik, Mohlis berkata sehingga kini lebih 75 peratus graduan daripada institut berkenaan mendapat npekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
“Setiap tahun lebih kurang 33,000 hingga 35,000 graduan daripasda politeknik tamat belajar dan kami dapati 75 peratus mendapat tempat dalam industri, dan untuk tahun ini kami menyasarkan meningkat hingga 80 peratus.
“Kita mempunyai 33 buah politeknik di seluruh negara dan memang ada antara politeknik yang mencapai kebolehpasaran kerja graduan lebih daripada 85 peratus dan ini membuktikan graduan politeknik menjadi pilihan majikan dalam industri,” katanya.
Sempena kem latihan tentera tersebut, hampir 500 anggota askar wataniah dari 14 politeknik seluruh negara menjalani latihan selama dua minggu bermula 14 Nov lalu.
Turut hadir, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Zulkifli Mansor, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya serta Pengarah PSMZA, Mohd Pauzi Ibrahim. – BERNAMA