BEIJING – Aktiviti perdagangan di Padang Besar antara Malaysia dan selatan Thai akan lebih rancak menerusi usaha membangunkan sebuah pelabuhan darat, Perlis Inland Port, (PIP) seluas 200 hektar di Lembah Chuping.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah projek itu yang sedang dirancang, akan menjadi pelengkap kepada projek landasan kereta api berkembar Utara-Selatan dari Padang Besar ke Johor Baharu.
“Kedua-dua projek ini akan memudahkan dan menggalakkan kemasukan kargo serta barang untuk dieksport melalui pelabuhan Pulau Pinang kerana ia hanya mengambil masa tiga jam dari Padang Besar.
“Perkembangan aktiviti import-eksport yang rancak memerlukan infrastruktur yang baik untuk menyokong aktiviti ekonomi. Secara tidak langsung PIP dan Padang Besar nanti akan menjadi tumpuan aktiviti ekonomi yang penting,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa melancarkan promosi Makanan Perlis di Hotel New World Beijing di sini Ahad malam
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin, Atase Pertahanan Malaysia di China Laksamana Pertama Zualkafly Ahmad serta Pengarah Jualan dan Pemasaran New World Hotel Anny Tan.
Baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis, mengetuai delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia dalam program lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula 14 Nov dan berakhir hari ini.
Turut sama Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Kol (K) Datuk Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan selaku Komandan Palapes UPM dan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis Mejar (K) Datuk Prof Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman selaku Komandan UiTM Perlis.
Wakil IPTA lain ialah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Baginda bertitah sementara itu pembangunan Taman Teknologi Pauh Putra pula yang berfokus kepada teknologi hijau termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan bioteknologi, bakal menambah kerancakan pembangunan kawasan tersebut.
Aktiviti itu akan meningkatkan potensi kegiatan pemprosesan herba, padi hibrid dan pusat benih pertanian di Pauh Putra.
“Beta mahu kerajaan negeri membuat persediaan untuk menghadapi ledakan pembangunan di kawasan terbabit dan sekitarnya,” titah baginda.
Mengenai promosi makanan itu, Syed Faizuddin bertitah selain memperkenal makanan Perlis di luar negara, ia juga bertujuan menggalakkan pelancong mengunjungi Malaysia, dan khususnya Perlis.
Makanan terkenal Perlis seperti nasi goreng, sate Ku Puan, ikan bakar, martabak serta teh tarik dan beberapa lagi disajikan kepada pengunjung hotel tersebut.
Sementara itu, Anny Tan berkata pihaknya akan mempromosi makanan Perlis sebagai sajian petang dan malam untuk tempoh tertentu pada peringkat awal untuk mendapat maklum balas pelanggan.
“Ini adalah sumbangan kami kepada negara dan Perlis khasnya. Berdasarkan sambutan pelanggan daripada pelbagai negara semasa pelancaran, saya yakin beberapa jenis makanan akan dapat terus dipromosikan untuk tempoh yang agak lama,” katanya.
Hotel bertaraf lima bintang itu mula beroperasi tiga tahun lepas di Qinian Street, Chongwenmen, Beijing, kata Anny yang berasal dari Pulau Pinang. – BERNAMA