KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao Krishnan Naidu kesal dengan sikap penyokong mendiang Teo Beng Hock yang membuat provokasi sehingga hampir berlaku pergaduhan di hadapan Parlimen semalam.
Beliau ujarnya, hadir hanya untuk membuat satu sidang media mengenai kelemahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum mengambil tindakan terhadap laporan rasuah pemimpin-pemimpin DAP setelah sembilan bulan membuat aduan.
“Saya amat kecewa dengan penyokong perhimpunan aman Beng Hock yang ganggu kami dengan melemparkan kata-kata kurang enak sehingga menaikkan kemarahan kami padahal saya tiada niat untuk bergaduh,†katanya di pekarangan Parlimen semalam.
Ramesh Rao mendakwa, mereka telah diprovokasi walhal kehadiran kumpulan beliau bukan untuk menyokong perhimpunan tersebut tetapi hanya ingin memberitahu kepada wakil-wakil media mengenai kelewatan pihak SPRM mengambil tindakan ke atas DAP.
Terdahulu, beliau dalam sidang medianya menggesa agar pihak kerajaan segera menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk menangani gejala rasuah dalam kalangan ahli-ahli politik tanah air termasuk sekali jika melibatkan pemimpin pembangkang.
“Kita mahu keadilan, kalau salah sila siasat. Mana prosedur operasi standard SPRM. Takkan sembilan bulan nak siasat satu kes. Ini karut dan kelakar. Mana konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ini pencapaian dilengah-lengahkan,†jelas Ramesh Rao.
Tindakan tegas oleh pihak SPRM perlu diambil tanpa mengira siapa walaupun tokoh pembangkang kerana jika tidak di mana lagi saluran yang ada ada untuk rakyat ingin membuat apa-apa aduan salah laku pemimpin politik tempatan.
“Kalau semua boleh terlepas, tidak kira ahli politik dari mana-mana komponen Barisan Nasional atau pembangkang, sampai bila perkara ini hendak dibiarkan berlarutan,†tambahnya. – MYNEWSHUB.CC