KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yakin penyerang kebangsaan, Safee Sali masih merupakan seorang pemain bola sepak yang hebat di negara ini.
Sehubungan itu, PBNJ menyelar pihak yang menghentam pemain kebangsaan itu hanya kerana prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF Suzuki yang sedang berlangsung di Singapura.
“Begitu mudah peminat melupakan jasa Safee ketika beraksi cemerlang dimana beliau dinobatkan sebagai pemenang kasut emas dan menjuarai piala AFF Suzuki 2010. Jasa Safee Sali tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
“Safee seorang individu yang sangat profesional dan sentiasa berusaha keras serta sentiasa memberikan 100 peratus komitmen di atas padang tidak kira ketika beraksi untuk pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mahupun negara.
“Safee seorang pemain yang sentiasa serius dan bersungguh-sungguh dan bersikap profesional dalam latihan JDT serta beraksi dengan baik ketika perlawanan menentang Thailand walaupun baru pulih daripada kecederaan yang serius ketika beraksi untuk Harimau Selatan dalam Liga Malaysia dua bulan lalu,” kata kenyataan itu hari ini.
[BACA: Peminat ‘Sound’ Prestasi, Safee Sali Mengamuk Di Instagram]
Justeru, tegas PBNJ, kritikan terhadap persembahan Safee tidak berasas sama sekali berdasarkan prestasi beliau dalam perlawanan menentang Thailand dan PBNJ yakin Safee akan kembali menyengat bersama pasukan JDT untuk musim hadapan.
Sehubungan itu, PBNJ mengumumkan persatuan itu telah menawarkan kontrak baharu kepada Safee untuk terus bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim 2015. – MYNEWSHUB.CC